Kerajaan negeri sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar berhubung kedudukan 170 pekerja warga Korea Utara di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kebanyakan mereka merupakan pekerja mahir di syarikat perlombongan arang di Selantik Coal Field di Bahagian Sri Aman dan projek hidro di Lawas.

"Kami sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar mengenai kedudukan mereka.

"Kami akan menunggu nasihat daripada Kementerian Luar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan forum empat hari, Pemulihan Landskap Hutan membabitkan 250 peserta dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Abang Johari berkata isu itu agak sensitif dan sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil masa untuk diselesaikan.

Ia berikutan timbul 'ketegangan' dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara susulan kes pembunuhan warga Korea Utara, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un baru-baru ini.

-- BERNAMA