Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB mengesahkan bahawa tuduhan salah laku terhadap Perdana Menteri oleh Kempen Anti Najib yang dijalankan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah palsu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, telah terbukti secara khusus bahawa dakwaan yang dibuat oleh Dr Mahathir bahawa RM42 bilion hilang daripada 1MDB adalah tidak berasas sama sekali.

"Tiada wang yang hilang, disalah guna atau tidak dapat dikesan," kata Salleh dalam kenyataan hari ini dan menambah Tun Mahathir, dan yang lain dalam Gabungan Anti-Najib harus bertanggungjawab bagi kerosakan terhadap reputasi Malaysia.

Salleh berkata mungkin ada strategi perniagaan yang lemah tetapi tidak ada bukti berlaku perbuatan jenayah.

Beliau berkata, jadi adalah jelas bahawa kempen Dr Mahathir untuk menukar kerajaan bukan melalui pilihan raya berdasarkan dakwaan salah laku di 1MDB, telah gagal.

"Malahan, 1MDB telah berjaya melaksanakan pelan rasionalisasi kerana aset 1MDB adalah lebih besar daripada liabilitinya. Ini berbeza dengan Proton, yang memerlukan suntikan dana kira-kira 2 bilion daripada kerajaan untuk terus beroperasi," kata beliau.

Salleh berkata ironinya ialah ketika Dr Mahathir membuat tuduhan palsu tuduhan bahawa 1MDB menghadapi masalah kewangan tetapi Proton - di bawah kepimpinan beliau yang sebenarnya menghadapi masalah kewangan jika kerajaan tidak menyelamatkannya.