Polis sedang menyiasat laporan cubaan menculik seorang pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Pandan Indah oleh dua lelaki menggunakan sebuah van berwarna putih yang tular dalam media sosial sejak Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Hamzah Alias berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kes cubaan culik tersebut dan sedang meneliti perkara sebenar yang berlaku pada hari kejadian.

“Setakat ini tiada saksi atau rakaman kamera litar tertutup yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

"Bagaimanapun polis membuka siasatan kes ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan individu, untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan polis, kejadian didakwa berlaku apabila pelajar itu sedang menunggu bas di Jalan Pandan Indah pada 12 tengah hari sebelum dia dipercayai cuba diculik dua lelaki menaiki van putih, namun berjaya melepaskan diri dan melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah.

-- BERNAMA