Laporan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) PEMANTAU akan dijadikan asas kepada perubahan dan penambahbaikan sistem pilihan raya pada masa hadapan.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, ia platform perubahan kepada mana-mana pindaan positif yang akan dikaji dan diputuskan oleh setiap Ahli Parlimen kelak.

Jelasnya, laporan itu juga akan dihantar kepada Ahli Parlimen sebaik sesi sidang Dewan Rakyat bermula minggu hadapan.

"Hasrat dan tujuannya adalah kuasa yang lebih kuat kepada rakyat untuk memilih kepimpinan yang terbaik, yang boleh memberi perkhidmatan.

"Kami tidak ada kepentingan politik, kami hanya mahu yang terbaik untuk rakyat Malaysia memilih.

"Apabila sistem sudah diubah, baru kita dapat negara yang bersih," katanya semasa sidang media selepas pelancaran laporan PRU14 PEMANTAU di sini, hari ini.

BACA: Bersih 2.0 minta umur mengundi diturunkan, umum Parlimen bubar 6 bulan awal

BACA:
Introduce specialized funds to curb exorbitant funding of political parties - Bersih 2.0

PEMANTAU adalah kumpulan rakyat proaktif yang memastikan PRU14 lepas berjalan dengan bersih dan adil.

Tugas PEMANTAU ialah memantau proses pilihan raya selain rakyat sendiri menjadi saksi untuk mencegah dan melaporkan kesalahan pilihan raya seperti rasuah, ugutan, pengundi hantu dan gangguan proses pilihan raya.

Turut menjadi panel Pengarah Eksekutif Bersih, Yap Swee Seng; Pengarah Program Pusat Komas, Adli Zakuan Zairakithnaini; penyelaras projek Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dobby Chew dan Felo Institut Pulau Pinang, Dr Wong Chin Huat.

Antara dapatan kesalahan di dalam laporan berkenaan adalah rasuah dan beli undi sebanyak 46 kes, penjamuan makanan dan pemberian (196), penggunaan aset kerajaan (105), undi awal dan undi pos (200) dan masalah pada hari mengundi (274).

Dalam perkembangan berasingan, Shahrul Aman memberitahu pihaknya berbesar hari menerima jemputan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemantau bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.49 Sungai Kandis, Selangor.

Jelasnya, jemputan tersebut dilihat usaha menjadikan PRK ini sebagai tanda aras terbaik pilihan raya di negara ini selepas PRU14.