Larangan merokok di premis makanan: Chong minta kerajaan GPS henti kelirukan rakyat

Larangan merokok di premis makanan: Chong minta kerajaan GPS henti kelirukan rakyat
Larangan merokok di premis-premis makanan dikenakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, yang terpakai di semua negeri. - Gambar hiasan
KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mahu kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhenti mengelirukan rakyat kononnya larangan merokok yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan di premis-premis makanan tidak terpakai di Sarawak kerana kerajaan negeri belum memperakui larangan itu.

Beliau berkata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Dr Sim Kui Hian telah menghujahkan bahawa Sarawak mempunyai autonomi terhadap operasi kedai-kedai kopi dan oleh kerana itu, peraturan dan undang-undang persekutuan tidak terpakai untuk kedai-kedai kopi di Sarawak melainkan setelah diperakui oleh kerajaan negeri.

"Hujah seperti itu tidak berasas dan tidak mempunyai asas perundangan," kata Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tidak boleh dipertikaikan, kata beliau, bahawa kerajaan negeri memiliki autonomi ke atas operasi semua kedai kopi dan kedai makanan di Sarawak, tetapi autonomi tersebut tidak membatalkan operasi dan pemakaian undang-undang persekutuan di premis-premis makanan tersebut.

Beliau berkata kuasa kerajaan negeri adalah mengeluarkan lesen dan mengenakan syarat-syarat tertentu berhubung lesen premis menjual makanan dan pelanggaran syarat-syarat lesen boleh menyebabkan lesen itu dibatalkan.

"Bagaimanapun, kuasa berkenaan tidak memberi hak kepada sesiapa pun untuk melakukan perbuatan yang dicegah oleh undang-undang lain tetapi tidak dinyatakan dalam lesen berkenaan," kata beliau.

Beliau berkata larangan merokok di premis-premis makanan itu adalah mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, yang terpakai di semua negeri.

Jika kerajaan negeri benar-benar yakin bahawa larangan merokok itu tidak terpakai di Sarawak, Chong berkata saluran yang betul dan sah di sisi undang-undang ialah untuk mendapatkan Menteri Kesihatan mengeluarkan gazet yang memaklumkan bahawa Sarawak dikecualikan daripada peraturan tersebut.

"Dan sekiranya pengecualian tersebut digazetkan pun, undang-undang yang melarang orang ramai merokok di semua premis makanan tetap juga terpakai," tambah beliau.

-- BERNAMA