Larian semangat konservasi alam sekitar

Larian semangat konservasi alam sekitar
Ratusan peserta yang membanjiri lokasi perasmian program iaitu Stadium Gunasama Hub Pendidikan Tinggi Pagoh - Foto AWANI Rangers UTHM
PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan larian yang 'Run For The Wild UTHM' (RFTW) di Hub Pendidikan Tinggi Pagoh yang diinspirasikan dari program dianjurkan World Conservation Society (WCS) Malaysia.

Tujuan utama larian yang diadakan pada 16 Disember 2017 adalah untuk memupuk kesedaran dan semangat konservasi hidupan liar dalam kalangan peserta TN50 yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai program dari Hub Pendidikan Tinggi Pagoh termasuk masyarakat setempat.

Suriayati Baharom
Malaysia telah dikategorikan sebagai salah satu dari 17 negara megabiodiversiti di dunia sejak tahun 1998 oleh badan antarabangsa, Conservation International iaitu membawa maksud, sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian tumbuhan, haiwan, serangga dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, tekanan yang dihadapi oleh hidupan liar di negara ini semakin meningkat disebabkan pelbagai faktor, antaranya kemusnahan habitat, penggunaan dan pembangunan secara tidak mapan, spesies invasif, perubahan iklim serta banyak lagi.

Tidak dinafikan, pelbagai usaha telah dijalankan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang dikawal selia oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Semenanjung Malaysia.
Di Sabah pula, tugas ini digalas oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Taman-Taman Sabah. Manakala Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Perhutanan Sarawak serta beberapa agensi lain memainkan fungsi serupa di Sarawak.

Entah di mana silapnya pembangunan polisi, peraturan serta undang-undang seolah-olah terasing dari masyarakat, kerana kesedaran mengenai bahaya, kadar penurunan populasi, kepupusan dan sebagainya masih mentah di minda masyarakat Malaysia.

Dengan harapan agar masyarakat lebih cakna mengenai isu-isu ini, larian RFTW UTHM itu dimulakan dengan gimik dari mahasiswa Program Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) UTHM bagi mengetengahkan empat isu utama yang berkait rapat dengan masyarakat iaitu pembalakan, kemusnahan habitat, kemalangan melibatkan hidupan liar dan pemerdagangan hidupan liar.

Harapannya, masyarakat lebih cakna menerusi gimik hidupan liar

Ratusan peserta yang membanjiri lokasi perasmian program iaitu Stadium Gunasama Hub Pendidikan Tinggi Pagoh memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan apabila gimik kemalangan dan pemerdagangan hidupan liar dilakonkan.

Saban hari, kemalangan demi kemalangan hidupan liar tular di laman sosial dan dilaporkan di media seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Inisiatif Jabatan Perhilitan sebelum ini wajar dipuji kerana menganjurkan sesi dialog bersama para penyelidik serta pihak berkepentingan yang terlibat dengan pemuliharaan hidupan liar di Malaysia semasa Persidangan Biodiversiti Kebangsaan November lalu sekali gus mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu kemalangan melibatkan hidupan liar, terutamanya tapir, gajah, harimau dan lain-lain.

Antara faktor utama berlakunya kemalangan ini ialah pembinaan jalan raya yang memisahkan habitat hidupan liar dan budaya masyarakat Malaysia yang memandu dengan kelajuan yang tinggi.

Walaupun papan tanda amaran kawasan hidupan liar melintas telah dinaikkan di kawasan-kawasan terpilih, ia masih belum cukup berkesan bagi mengatasi masalah tersebut.
_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) suntingan Suriayati Baharom

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro Awani dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).