Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Laskar Muda maut apabila kenderaannya terlibat dalam sebuah kemalangan di KM28 Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran Balai Polis Jejawi semalam.

Dalam kejadian sekitar 6.10 petang itu, mangsa Mohd Naqib Mohd Nasir, 24 tahun, yang difahamkan sedang memandu sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, merempuh sebuah kereta di hadapan dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata mangsa yang bertugas di Lumut dipercayai sedang dalam perjalanan ke Sitiawan.

Mangsa Mohd Naqib Mohd Nasir, 24 tahun, disahkan maut di tempat kejadian. - Ihsan PDRM Perak
"Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan jenis Nissan Almera yang sedang dalam perjalanan ke Hutan Melintang.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala penumpang di bahagian hadapan mengalami kecederaan kritikal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelasnya, penumpang Myvi juga seorang tentera Laskar Muda yang bertugas di Lumut, dan digegaskan ke Hospital Teluk Intan bagi rawatan lanjut.

Menurut Mohamad Zainal, pemandu Nissan Almera yang merupakan seorang warga emas tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan di Hospital Changkat Melintang. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambahnya.