Seorang jiran kepada dua sepupu yang lemas di tali air sawah Kampung Permatang Chengkeroh, Merchong dekat sini pada Ahad, telah melaungkan azan setelah usaha mereka mencari dua kanak-kanak berusia enam di dalam tali air berkenaan tidak berjaya.

Menurut ibu kepada salah seorang mangsa Thaibah Abd Razak, 37, sebaik sejurus selepas azan dilaungkan, mayat anaknya Muhamad Akif Aiman Adnan serta anak saudaranya, Mohamad Alif Nazim Sabri, ditemui di dasar tali air berkenaan.

"Saya mendapat tahu kejadian itu apabila anak saya yang juga kakak kepada Muhammad Akif, Aishah Nazirah (9 tahun) berlari-lari pulang ke rumah dalam keadaan cemas sebelum memaklumkan tentang kejadian yang menimpa adiknya.

"Selepas mendapat tahu, saya bersama jiran-jiran terus berlari ke parit berkenaan yang terletak 30 meter dari rumah. Orang kampung kemudian terjun ke dalam air untuk mencari tetapi tak jumpa.

"Selepas 15 minit gagal menemuinya, ada jiran laung azan di tepi parit itu dan selang seminit selepas itu, Aiman berjaya ditemui sebelum diikuti Alif dengan keadaan mayat kebiruan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nenasi bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia akibat lemas.

Menceritakan tentang kejadian itu, bapa Muhamad Akif, Adnan Salleh, 42, berkata, anak bongsunya bersama sepupunya itu terjatuh ketika dalam perjalanan untuk mengaji al-Quran yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.

"Menurut Aishah, adiknya Aiman ketika itu mengayuh basikal dan Alif pula membonceng. Aishah pula membonceng dengan kakak kepada Alif, Izati Najihah yang sebaya dengannya.

"Tidak lama kemudian, kakaknya lihat basikal itu terjatuh. Alif dan Aiman pula terus tenggelam selepas terhumban ke dalam air," katanya yang tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang berubah menjadi peramah sejak kebelakangan ini menjadi petanda dia akan pergi selamanya.

Anaknya juga berubah sikap menjadi lebih rajin menyiapkan kerja sekolah sejak seminggu lalu sehingga guru sekolahnya turut memuji tentang perkara itu. -- Bernama