KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menangani isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan dengan lebih tegas kerana ia jelas mencabul kedaulatan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Daud Yusuf, berkata isu itu tidak boleh dianggap ringan disebabkan ancaman berkenaan semakin membimbangkan.

Menurutnya, laporan mendedahkan sejak 2021 pesawat pejuang 'Halimunan' China, J-20, dilaporkan berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.

"Bagaimanapun, alasan kerajaan China yang kerap kali mengulangi mereka 'sekadar' menjalani latihan ketenteraan dan bertegas tidak merentasi mana-mana sempadan antarabangsa adalah tidak munasabah sama sekali.

"Tidak masuk akal sekiranya ia adalah tindakan tidak terancang setelah pencerobohan maritim berlaku sebanyak 23 kali dalam tempoh 12 bulan lampau.

"Malah, rekod daripada Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

BACA: TUDM sahkan 16 pesawat tentera China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia

BACA: Masuki ruang udara Zon Maritim Malaysia: 'Hanya latihan penerbangan biasa' - Kedutaan Besar China

Daud turut mempersoalkan adakah Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan (Mindef) menggerakkan sebarang resolusi bagi mempertahankan kedaulatan tanah air khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau mendakwa, siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik COVID-19 menggambarkan betapa Wisma Putra dan Mindef tidak mempunyai pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis itu.

"Peristiwa antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara kita untuk situasi seumpama ini.

"Apakah tanda kehormatan kepada 'Abang Besar' China membolehkan mereka (Kerajaan China) bertindak sesuka hati?.

"Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini. Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara  ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.

"Tetapi setakat mana suara ini didengari kerajaan China? Adakah cukup cubaan 'memanggil Duta Besar China' didendangkan kepada media tempatan sekadar menjadi ubat tahan sakit tanpa bertemu penawar?," katanya.

Daud yang juga wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, Indonesia juga dikaitkan dengan pertikaian tersebut kerana sempadan maritim China yang berada dalam kawasan 'nine-dashed-lines' merentang ke bahagian utara wilayah Kepulauan Natuna.

Isu itu katanya, bukan sekadar isu dua hala, tapi ia juga multilateral yang melibatkan sistem politik yang kompleks serta mempunyai insentif yang berbeza.

"Banyak yang terpaksa dikorbankan... banyak yang perlu diraih, tetapi malangnya, rakyat Sabah dan Sarawak akan menjadi benteng di barisan hadapan dalam konflik Laut China Selatan sekali gus  memberi ancaman kepada rakyat Malaysia.

"Kerajaan harus mengambil sikap lebih tegas bagi menggesa semua pihak terlibat menghentikan pencerobohan mereka dan komited kepada rundingan damai. Tidak cukup dengan hanya bergema sentimen negara lain.

"Malaysia juga harus berpendirian teguh kerana isu geopolitik semasa yang menyelubungi perairan Malaysia kita dengan pencerobohan demi pencerobohan oleh negara besar di timur, kita mungkin berada dalam kedudukan sama seperti Ukraine," tegasnya.

Daud berkata, Malaysia harus bertindak secara kolektif bersama negara-negara ASEAN bagi  mencapai resolusi dan persefahaman bersama China bahawa tindakan mereka atas nama 'latihan' atau 'tidak disengajakan' amat mengguris perasaan sebuah negara berdaulat.

Katanya lagi, tidak wajar China menjadikan wilayah Malaysia sebagai proksi pertempuran antara kuasa-kuasa besar dan sepatutnya kumpulan kuasa besar itu harus selesaikan pertikaian mereka tanpa menjadikan Laut China Selatan sebagai tempat menunjukkan kekuatan tentera.

"Tinggalkan rantau perairan Sabah dan Sarawak, rakyat Sabah dan Sarawak, ekonomi Sabah dan Sarawak, sumber Sabah dan Sarawak, untuk masa depan rakyat Sabah dan Sarawak.

"Keutamaan saya adalah keselamatan masyarakat Sabah dan Sarawak secara khusus, pada masa sama untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Kegusaran masyarakat akan terus timbul dan risiko penjejasan ekonomi akan berlaku sekiranya hal ini tidak ditangani segera.

"Ketika kerajaan Sabah dan Sarawak sedang giat membanteras pencerobohan dan keganasan berskala kecil, kerencaman politik antarabangsa bukan satu hal yang sesuai untuk diterima. Krisis pencerobohan ruang udara dan maritim negara perlu segera dinoktahkan," tegasnya.