Malaysia mencadangkan supaya semua pihak yang membuat tuntutan ke atas Laut China Selatan untuk berbincang bagi mencapai kata sepakat demi kepentingan bersama.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kepentingan bersama yang dimaksudkan adalah sumber laut yang semakin berkurangan.

"Tiada guna untuk membuat tuntutan berasingan tetapi pada masa sama, tiada usaha dibuat untuk memulihara sumber laut seperti ikan di kawasan masing-masing," kata Nur Jazlan.

Tambah beliau, pada era masa kini, mengamalkan konsep kepentingan bersama adalah penting agar manfaat yang diperolehi dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang.

"Jika kita lihat konsep 'shared economy', prinsip yang sama boleh diguna pakai dalam pengurusan Laut China Selatan.

"Jika semua pihak boleh mencapai kata sepakat, sudah pasti kita dapat menikmati kebaikan bersama," kata beliau.

Nur Jazlan berkata demikian selepas memberi ucaptama di Persidangan Laut China Selatan Institut Maritim Malaysia (MIMA) yang ke-6 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada perkembangan geostrategik di Asia Pasifik dan bagaimana ia memberi impak kepada Laut China Selatan.

Sebanyak 12 pembentangan dan perbincangan panel dijadualkan untuk persidangan ini yang bermula hari ini dan berakhir pada Khamis.