Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menyifatkan lawatan beliau ke Arab Saudi telah mencapai matlamat dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara itu.

Perdana Menteri berkata dalam pertemuan dua hala beliau dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, mereka telah membincangkan perkara yang dipersetujui ketika kunjungan baginda ke Malaysia, tahun lepas.

"Antaranya kerjasama ekonomi, keselamatan, perkara berkaitan ibadah Haji selain penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya.

"Bercakap tentang hubungan kedua-dua negara ini, persaudaraan antara Malaysia dengan Arab Saudi telah terjalin lama, tetapi bertambah akrab lagi dengan kunjungan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia tahun lalu, negara pertama dikunjungi baginda di Asia," kata Najib menerusi catatan di laman rasmi blog beliau, Khamis malam.

Najib berkata hasil kunjungan Raja Salman ke Malaysia, negara telah menerima banyak manfaat sama ada dalam pendidikan, perniagaan, pelaburan, dan juga keagamaan.

"Pada masa sama, saya juga telah dijemput oleh baginda Raja Salman untuk berkunjung ke Arab Saudi.

"Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT jua, minggu ini saya berpeluang memenuhi jemputan tersebut selain berkesempatan mengerjakan umrah bersama bonda Tun Rahah serta keluarga tercinta," kata Najib.

Dalam pada itu, Najib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Raja Salman atas layanan istimewa dan taraf Tetamu Negara yang diberikan kepada beliau serta seluruh anggota rombongan.

"Kami diberi penghormatan berkunjung ke makam Rasulullah SAW, dan saya juga berpeluang memasuki Kaabah. Syukur Alhamdulillah.

"Semoga hubungan persaudaraan ini akan terus terjalin erat dan bertambah kukuh lagi di masa hadapan, insya-Allah," tambah Najib. -- Bernama