Lawatan kerja sembilan hari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di China untuk mempromosi produk halal mencatatkan kejayaan melebihi sasaran apabila menerima permintaan untuk mewujudkan Agrobazaar Malaysia di enam bandaraya di negara itu.

Ismail Sabri yang jelas gembira dengan perkembangan itu berkata enam bandaraya tersebut ialah Xi'an, Suining, Chengdu, Xiamen, Shenzen dan Hong Kong.

Beliau berkata pegawai kementerian akan mengadakan perbincangan susulan berhubung perkara itu.

"Perbincangan yang diadakan dengan usahawan Malaysia dan China di kesemua bandaraya yang saya lawati mendapati masyarakat di China begitu berminat dengan Agrobazaar Malaysia walaupun lawatan saya bertujuan mempromosi produk halal.

"Kemungkinan Agrobazaar Malaysia akan dibuka di keenam-enam bandaraya berkenaan secara usaha sama dengan usahawan warga Malaysia yang memiliki perniagaan di bandaraya berkenaan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai hasil lawatan kerja sembilan hari beliau di China mulai 23 Mei dan berakhir hari ini bagi mempromosi produk halal Malaysia.

Katanya selain Agrobazaar Malaysia, beliau turut menerima banyak permintaan bagi durian Malaysia untuk dieksport ke China.

"Kementerian akan memastikan bekalan durian dari Malaysia adalah konsisten untuk pasaran China yang begitu luas dan berpotensi besar. Program penanaman semula durian juga akan dipergiat," katanya.

Beliau yakin eksport produk pertanian dan industri asas tani Malaysia ke China akan meningkat tahun ini berdasarkan permintaan dan keyakinan yang tinggi masyarakat di China terhadap logo halal Malaysia dan kualiti produk.

Lawatan kerja itu turut disertai pegawai kanan daripada agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM),Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).