Lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang berakhir Isnin lepas terutama di Masjid Negara digambarkan sangat diplomatik selain langkah bijak mengambil hati rakyat negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia merupakan lawatan luar biasa pemimpin dunia selepas kali terakhir negara dikunjungi Presiden Lyndon B.Johnson hampir 50 tahun lalu.

"Obama meluangkan masa melawat Masjid Negara dan Makam Pahlawan.

"Dia sangat diplomatik dan pandai ambil hati orang. Sebab itu dia menang,'' katanya.

Tun Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku 'A UN Chronicle' tulisan diplomat terkemuka Tan Sri Razali Ismail bersama Sharifah Shifa al-Attas di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di sini.

Pada Ahad, lawatan Obama ke Masjid Negara membuktikan minat dan rasa kagumnya dengan pencapaian negara sebagai sebuah negara Islam yang maju dan dinamik di rantau Asia Tenggara.

Lawatan itu disifatkan permulaan baik kepada pemahaman yang lebih baik mengenai ajaran Islam.

Presiden AS ke-44 itu melawat Masjid Negara yang terletak di Jalan Perdana dengan disambut Imam Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan jawatankuasa masjid.

Obama yang memakai suit gelap diiringi Syaikh Ismail ke dewan solat dan berhenti seketika di Makam Pahlawan yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Obama memenuhi jadual kerja yang padat ketika berada di negara ini. Pada hari pertama tiba Obama diberikan sambutan rasmi permaidani merah di Dataran Parlimen.

Pemimpin kuasa besar dunia itu dirai dalam jamuan negara bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada Sabtu.

Pada hari kedua lawatan, Obama bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan mesyuarat dua hala di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya.

Selain itu Obama turut menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari Asia Tenggara yang berlangsung di Universiti Malaya.

Aturcara hari terakhir lawatan Obama adalah menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan Amerika bernilai US$2 bilion (RM6.53 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Sementara itu, Razali dalam ucapannya berkata, buku tulisannya diharap dapat menjadi rujukan berguna kepada diplomat Malaysia pada masa ini, bakal diplomat, golongan akademik dalam jurusan kajian antarabangsa dan pelajar.

Antara pengalaman yang dicatatkan dalam buku itu termasuk suka duka berkhidmat di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ketika zaman kepimpinan Dr Mahathir yang sangat proaktif memperjuangkan nasib negara-negara sedang membangun.