Indonesia menjadi destinasi pertama pilihan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking menerusi lawatan sulung ke luar negaranya, sejak memegang portfolio itu, Jun lepas.
Isu melibatkan kepentingan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara menjadi fokus perbincangan, sepanjang lawatan tiga hari di Jakarta, bermula esok.
Darell, pemimpin ketiga negara yang mengadakan lawatan kerja rasmi ke Indonesia, selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Luar, Datuk Saifudin Abdullah.
Kehadiran ketiga-tiga pemimpin itu ke bumi Garuda secara berasingan dalam tempoh tiga bulan selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 9 Mei lepas, jelas membuktikan kepentingan peranan dan sumbangan negara itu kepada Malaysia begitu besar, terutamanya dalam sektor ekonomi.
Sejak 2008 hingga 2016, Malaysia telah memperuntukkan nilai pelaburan sebanyak 15 billion ringgit di Indonesia.
Manakala untuk tahun lepas sahaja, jumlah dagangan Malaysia - Indonesia mencecah 72.63 billion ringgit.
Ia sekali gus menjadikan Indonesia rakan dagang ketujuh terbesar kepada Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Pertemuan Darell bersama rakan sejawatannya dari Indonesia esok, dijangka meneruskan usaha memperluas jaringan kerjasama strategik, terutamanya dalam sektor perdagangan, pelaburan dan perindustrian.
Pertama, satu perjanjian persefahaman (MoU) dijangka dimeteri Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan Institut Otomotif Indonesia (IOI).
Ramai yang membayangkan lawatan kali dan pemeteraian MoU tersebut sebagai sebahagian langkah lanjutan untuk menghidupkan semula projek kereta Malaysia - Indonesia untuk pasaran ASEAN, namun masih terlalu awal untuk mengesahkannya.