Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, ke Malaysia mengukuhkan lagi perkongsian dan hubungan persaudaraan yang dijalinkan kedua-dua negara berdasarkan rasa saling percaya dan menghormati satu sama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini boleh menjadi teladan bagi dunia Islam dan yang lain dalam memanfaatkan rakyat dan rantau terbabit serta dunia.

"Kami juga berasa bangga kerana Arab Saudi dan Malaysia telah menjalinkan kerjasama utuh dalam mengekalkan kesejahteraan serta menyediakan kepimpinan buat ummah," kata beliau hari ini.

BACA: Lawatan Raja Salman ke Malaysia kukuhkan hubungan dua hala

BACA:
Hal ehwal haji agenda utama lawatan Raja Salman ke Malaysia

Perdana Menteri berkata demikian dalam satu kenyataan menjelang lawatan negara empat hari oleh Raja Arab Saudi itu mulai Ahad ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

Najib turut menyentuh tentang komitmen bersama Malaysia dan Arab Saudi yang kukuh dalam memerangi ekstremisme berasaskan kepada kepercayaan utuh mereka terhadap sifat toleransi, kesederhanaan dan keamanan Islam yang syumul.

Beliau berkata Kuala Lumpur berbesar hati kerana Raja Salman memilih Malaysia untuk mengadakan lawatan pertamanya ke sebuah negara Islam di rantau ini, dan negara pertama di Asia Tenggara sejak baginda menaiki takhta.

Najib berkata beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman baharu akan ditandatangani semasa lawatan itu - dengan satu daripadanya melibatkan Saudi Aramco dan Petronas Malaysia.

Perdana Menteri juga menyatakan bahawa kedua-dua negara menjalin hubungan perdagangan yang kukuh selain menyaksikan peningkatan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Menurutnya perdagangan dua hala terus meningkat sejak beberapa tahun lepas dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 27.8 peratus pada 2016 kepada sejumlah RM13.99 bilion.

"Hari ini, Arab Saudi adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia," kata beliau sambil memberitahu bahawa pelaburan Arab Saudi di Malaysia dijangka dapat mewujudkan ribuan pekerjaan.

Najib juga menzahirkan rasa bangga Malaysia apabila syarikat-syarikat negara ini dipilih untuk melaksanakan projek di beberapa lokasi paling berprestij di Arab Saudi.

Beliau berkata ini termasuklah mengendalikan operasi dan menyenggara perkhidmatan Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Makkah iaitu tren khusus untuk jemaah serta melaksanakan projek di Jambatan Jamarat dan kawasan sekitar Mina.

"Ia juga merupakan kebanggaan buat kita apabila Malaysia menjadi sebahagian daripada pasukan yang mereka bentuk Makkah Royal Hotel Clock Tower yang indah dan menghadap Masjid al-Haram," kata perdana menteri.

Beliau berkata kemesraan kedua-dua negara juga dapat dilihat daripada kunjungan lebih 100,000 pelawat Arab Saudi ke Malaysia tahun lepas, yang mencatatkan rekod tertinggi setakat ini, manakala pelajar Malaysia mendapat manfaat dengan menyambung pengajian di Arab Saudi dan sebaliknya.

Najib juga menarik perhatian bahawa hubungan kerohanian antara kedua-dua negara telah pun terjalin sejak berabad lamanya.

"Bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam, Arab Saudi yang menempatkan dua Masjid Agung adalah tempat yang paling suci, dan menunaikan ibadah haji adalah tangungjawab dan kemuncak kehidupan mereka," kata beliau.
-- BERNAMA