Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perkara itu dipersetujui melalui satu ketetapan khas yang dicapai pada mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu.

"Timeline yang dipersetujui ialah pada sesi Parlimen yang akan datang iaitu pada Jun-Julai.

"Kementerian Belia dan Sukan akan menjadi kepala untuk memastikan anak muda akan berpeluang menentukan masa depan negara dalam pilihan raya yang akan datang," kata Syed Saddiq.

Menurut laman web Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14 akan diadakan selama 12 hari mulai 1 Julai hingga 18 Julai 2019.

Syed Saddiq ditemui selepas menghadiri Konvensyen Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pada Isnin.

Pada 19 Sept 2018, mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan cadangan meminda Perlembagaan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pada Februari lalu, Syed Saddiq telah menyatakan hasrat membawa usul pindaan Perlembagaan itu pada sesi Parlimen pada Mac.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-14 yang sedang berlangsung sekarang bermula 11 Mac dan berakhir 11 April.