Sebanyak 1,178 kemalangan dilaporkan berlaku akibat terlanggar objek yang terjatuh di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada 2015.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi berkata dalam tempoh berkenaan, kira-kira 2,200 objek seperti serpihan tayar, kayu dan besi dikesan berada di atas lebuh raya.

"Turut ditemui adalah bangkai haiwan, komponen kenderaan, tilam, perabot dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat media berhubung objek dan halangan di lebuh raya PLUS, di sini malam tadi.

Memandang serius isu berkenaan kerana membahayakan pengguna jalan raya, beliau berkata kira-kira 150 anggota pasukan PLUSRonda ditugaskan untuk memantau dan melakukan rondaan di sepanjang lebuh raya.

"Mereka turut ditugaskan mengutip dan mengalihkan objek yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lebuh raya," katanya.

"Sebahagian besar kemalangan berlaku kerana pengguna melanggar objek sejurus selepas ia terjatuh daripada kenderaan berat atau melanggar serpihan tayar kenderaan berat," kata Mohammad Fuad.

Beliau berkata operator kenderaan berat perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

"Selenggara kenderaan mengikut jadual dan pastikan muatan yang dibawa stabil dan tidak mudah terjatuh," katanya sambil menambah orang ramai perlu segera menghubungi PLUS bagi membolehkan objek yang tidak sepatutnya berada di lebuh raya dialihkan," katanya.