Seramai 108 peniaga seluruh negara telah dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal mematuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019 yang dikuatkuasakan sejak 30 Januari lalu.

Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman antara kesalahan yang dilakukan sepanjang enam hari pantauan dilakukan adalah gagal menggunakan tanda harga khas, menjual melebihi harga maksimum dan gagal pamerkan tanda harga.

"Sepanjang tempoh enam hari ini, kita menerima sebanyak empat aduan daripada orang ramai dan ia telah diselesaikan, manakala seramai 108 peniaga telah diambil tindakan.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah 69 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu, 39 kes lagi tidak meletakkan tanda harga,” katanya selepas melakukan pemeriksaan barangan kawalan dan barangan harga terkawal musim perayaan di Pasaraya Matahari, 1, Shah Alam, hari ini.

Jelasnya, nilai rampasan yang telah dilakukan adalah berjumlah RM12,977 dan nilai kompaun yang dikeluarkan KPDNHEP adalah RM12,700.

Beliau juga yakin bahawa bekalan barangan terkawal dijangka mencukupi sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 5 Februari di seluruh negara.

Sebanyak 13 jenis barangan harga terkawal disenaraikan dalam skim berkenaan termasuk ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging babi.