Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi 100 keluarga di sekitar Ipoh suram apabila kediaman mereka mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut di sekitar Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor dan Klebang dekat sini, pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P. Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 6 petang tadi melaporkan mengenai kejadian itu yang menyebabkan kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan bumbung dan sengkuap.

"Kebanyakan kes membabitkan pokok tumbang, sengkuap dan bumbung berterbangan.

Setakat ini, kami tidak menerima laporan melibatkan kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu malam.


Menurutnya, tiga jentera Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh serta satu jentera Balai Bomba dan Penyelamat Meru turut ditempatkan di lokasi kejadian.

Seorang penduduk di Chemor, Mazayu Mahadi, 45, berkata ketika kejadian beliau bersama keluarganya sedang melayan tetamu sempena Aidilfitri sebelum tiba-tiba terdengar bunyi guruh yang kuat di luar rumahnya.

"Masa kejadian ada dua keluarga berada di dalam rumah. Saya terdengar bunyi guruh dan bila lihat di luar saya tengok angin begitu kuat umpaman puting beliung.

"Pokok di hadapan dan tepi rumah tumbang akibat angin kuat tersebut. Alhamdulillah, tiada siapa yang tercedera dan rumah pun selamat. Bagaimanapun, enam hingga tujuh rumah sewa rosak teruk dalam kejadian tersebut," katanya.

Beliau berkata kerugiannya dianggarkan kira-kira RM50,000 dalam kejadian itu yang pertama kali berlaku di Chemor.

Pengerusi Masjid Bandar Baru Putra di Bercham, Datuk Masari Abdul Rashid berkata dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, bumbung ruang utama masjid yang dibina pada 2001 itu, diterbangkan angin.

"Ruang solat lelaki tidak boleh digunakan kerana permaidani rosak...lebih menakutkan apabila bumbung dan sengkuap rumah berhampiran diterbangkan ke kawasan masjid.

"Semasa kejadian, hanya saya sahaja berada di masjid," katanya.

Menurutnya lebih 30 rumah terlibat dalam kejadian itu dan semua penghuninya tiada di rumah ketika itu.

Masari berkata ia merupakan kejadian kedua di kawasan itu selepas yang pertama berlaku tujuh tahun lepas.