KOTA KINABALU:Sebanyak 102 daripada 221 buah sekolah menengah di Sabah telah melaporkan kes COVID-19 sehingga kini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata demikian dalam satu sidang media laporan COVID-19 di negeri itu, pada Isnin.

"Sukacita dimaklumkan bahawa semua sekolah berkenaan telahpun dibuka untuk beroperasi semula," ujar beliau.

Bercakap mengenai lapan buah sekolah di Sandakan yang telah diarahkan tutup susulan pengesanan kes positif COVID-19, baru-baru ini, beliau berkata setakat ini, ia melibatkan empat orang murid dan 14 guru.

Ditanya mengenai kriteria yang mempengaruhi penutupan sekolah, Masidi berkata ia bergantung kepada penelitian dan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

"Sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan penularan virus menyebabkan terjadinya kluster di sekolah, maka pegawai kesihatan daerah akan membuat keputusan untuk menutup sekolah dan menghentikan aktiviti persekolahan selama 10 hari untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

"Penutupan sekolah juga membolehkan kontak rapat kepada kes disaring dengan lebih berkesan. Sekiranya pengesanan kes dapat dilakukan dengan awal, sebelum terjadinya kluster, kontak-kontak rapat kepada kes akan disaring dan diasingkan dalam kuarantin," jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai isu yang tular di media sosial di mana dakwaan ahli keluarga pesakit COVID-19 yang meninggal dunia harus membayar sejumlah wang bagi pengurusan penghantaran jenazah, Masidi menegaskan bahawa pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan semua hospital kerajaan di bawah jagaan, tidak mengenakan sebarang  bayaran bagi pengendalian jenazah COVID-19.

"Caj pengangkutan dikenakan apabila ahli keluarga jenazah memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah yang bertauliah untuk membawa jenazah dari hospital ke tapak pengebumian.

"Walaupun demikian, prosedur pengangkutan sehingga pengebumian adalah diselia ketat oleh pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," tambah beliau lagi.

Sabah pada hari ini mencatatkan penambahan 169 kes positif COVID-19.

Satu kluster baru telah dikesan iaitu Kluster Batu 38 Kalabakan dengan 18 kes positif kumulatif.