Sejumlah 150,204 pelarian dan pemohon suaka dari 59 negara berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dicatatkan di negara ini hingga 31 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata daripada jumlah itu, 94,361 adalah pelarian manakala baki 55,843 adalah pemohon suaka.

Jelasnya, selain Myanmar yang merekodkan jumlah terbesar iaitu 133,725 orang, negara lain yang turut terlibat ialah Pakistan (3,548), Sri Lanka (2,328), Yaman (2,095), Somalia (2,062), Syria (1,980), Iraq (1,461), Afghanistan (1,082), Palestin (698) dan Iran (440).

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan melaksanakan dasar perintis kebenaran bekerja kepada pemegang kad UNHCR dalam kalangan etnik Rohingya untuk membenarkan mereka bekerja dalam sektor perkilangan dan perladangan bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Mac lalu.

“Kerajaan juga membenarkan anak pelarian dan pemohon suaka untuk mendapat akses pendidikan di sekolah swasta atau pusat pendidikan yang disediakan badan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin mengetahui jumlah permohonan terkini pelarian yang diluluskan ke Malaysia mengikut negara asal dan jantina di Dewan Rakyat, hari ini.