SEBANYAK 169,728 penerbangan termasuk domestik dan antarabangsa telah dibatalkan berikutan penularan pandemik COVID-19, pada enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 114,693 membabitkan pembatalan penerbangan domestik manakala selebihnya adalah penerbangan antarabangsa.

Katanya, pembatalan itu melibatkan tiga syarikat penerbangan utama tempatan yang menyebabkan kira-kira 4.316 juta pengguna terkesan.

"Bagi syarikat Malaysia Airlines, sejumlah 32,790 penerbangan domestik dibatalkan, manakala 12,890 penerbangan antarabangsa dengan jumlah keseluruhan 45,680 penerbangan.

"Bagi AirAsia, sebanyak 71,980 penerbangan domestik dibatalkan manakala 34,963 membabitkan penerbangan antarabangsa dan jumlah keseluruhan 106,943 penerbangan manakala sebanyak 17,105 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan membabitkan syarikat Malindo," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai penerbangan dan pembatalan tiket.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya daripada impak COVID-19.

"Berdasarkan analisis Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan harga tiket penerbangan kembali normal kepada harga purata pada 2019 menjelang November ini, selepas syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar. Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi pandemik COVID-19.

"Kementerian sudah mengarahkan MAVCOM melaksanakan pemantauan pengenaan kadar tambang yang dikenakan oleh syarikat penerbangan secara berterusan dan mengadakan sesi libat urus bagi memastikan harga tambang yang dikenakan adalah kompetitif," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga telah meminta syarikat penerbangan untuk mempertimbangkan pengurangan kadar tambang untuk menawarkan pakej tertentu kepada golongan pelajar universiti awam.