Kerajaan negeri berjaya bertemu lebih 165,000 rakyat dalam 10 program Pemukiman Menteri Besar yang diadakan sepanjang tahun ini, kata Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Bagaimanapun, kata Menteri Besar, ia tidak termasuk program Pemukiman di Daerah Batang Padang dan Kampar yang sedang berlangsung sekarang.

Menurut beliau, berdasarkan kajian yang dibuat berasaskan kepada program lima hari itu, setiap permukiman melibatkan purata 100 program, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 1,000 program telah diatur bersama-sama rakyat.

“Tetapi di setiap pemukiman, lazimnya bilangan program bertambah daripada yang telah diatur.

“Misalnya, pemukiman kali ini, kira-kira 170 program telah diatur tetapi ia mungkin meningkat lebih lagi,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan geran hak milik Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) di Arena Square Tanjung Tualang di sini pada Selasa.

Seramai 96 penduduk RPT Changkat Tualang dan 48 penduduk di RPT Gua Sanding menerima geran hak milik mereka di samping 16 orang lagi menerima surat tawaran RPB Bukit Pekan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan beberapa ahli Exco kerajaan negeri seperti Datuk Saarani Mohamad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Datuk Mohd Zahir Khalid, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi.

Terdahulu, Zambry merasmikan majlis pecah tanah projek perumahan Perak Amanjaya Tualang Sekah yang melibatkan pembinaan 54 buah rumah, menjadikannya projek keempat selepas Felcra Nasaruddin (64 unit), Ulu Bernam (59 unit) dan Trolak (50 unit).

Setiap rumah yang berkeluasan 860 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijual pada harga RM70,000 seunit, jauh lebih murah berbanding harga pasaran lebih RM200,000 seunit.

Zambry berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak akan terus membina rumah untuk golongan yang memerlukan, khususnya kumpulan B40, walaupun di atas tanah berkeluasan dua atau tiga ekar.

“Kita tidak perlu menunggu untuk mencari kawasan yang luas bagi membina ratusan atau ribuan buah rumah, kalau dapat membina 54 buah rumah misalnya, kita dapat menyelesaikan masalah 54 keluarga untuk mendapatkan rumah mampu milik,” ujarnya.

Terdahulu, Zambry bersama-sama barisan Exco kerajaan negeri memulakan program hari ini dengan menaiki empat buah lori sampah mengutip sampah dan membersihkan kawasan di sekitar Malim Nawar.

Beliau menegaskan, walaupun aktiviti itu mendapat kritikan hebat daripada pembangkang, ia tetap akan diteruskan sehingga kebersihan menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat negeri ini.

“Walaupun Perak diiktiraf sebagai negeri kedua terbersih selepas Terengganu, kita tidak boleh berpuas hati dan berhenti di sini kerana kita mahu menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup rakyat,” katanya.