Kira-kira 24.8 peratus daripada 31,674 individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (Home Surveillance Order atau HSO) berkaitan kes COVID-19 tidak menggunakan fungsi Alat Penilaian di Rumah.

Demikian menurut angka yang diperolehi daripada analisa data aplikasi MySejahtera, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Katanya, alat itu merupakan satu ciri bagi individu menjalani penilaian kendiri yang perlu dilakukan setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah, iaitu 14 hari.

"Setakat ini, bilangan pengembara yang pulang dari luar negara iaitu Person Under Surveillance (PUS) yang dikehendaki menjalani HSO adalah seramai 31,674 orang dan jumlah yang sudah tamat tempoh kuarantin adalah 18,416 orang.

"Namun daripada jumlah ini (18,416), 10 peratus didapati tidak menjalani saringan COVID-19 pada hari ke-13," katanya.

BACA: KKM pertimbang penggunaan 'wristband' pintar - Dr Noor Hisham

BACA: Polis buru lelaki pakai 'wristband' COVID-19 minum di kopitiam

BACA: Pengembara berdepan tindakan jika tanggal gelang tangan kuarantin

Mengenai Alat Penilaian di Rumah atau Home Assessment Tool, Dr Noor Hisham berkata, angka 24.8 peratus tersebut merupakan hasil analisa terkini yang diperoleh dari 7 Julai hingga 20 Julai 2020.

"Fungsi Home Assessment Tool ini merupakan satu ciri bagi individu menjalani penilaian kendiri yang perlu dilakukan setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah iaitu selama 14 hari," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang tular di media sosial baru-baru ini membabitkan individu yang diletakkan di bawah HSO didapati telah berada di tempat awam.

BACA: COVID-19: Gara-gara 'makcik degil gelang pink', restoran ini pula jadi mangsa

BACA: Wanita 'gelang pink' sedang dirawat di hospital

Justeru katanya, masyarakat kini perlu memainkan peranan sosial yang lebih utama dalam memerangi pandemik COVID-19.

"Patuhilah SOP yang disediakan. Rakyat juga digalak untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan tindakan yang didapati melanggar SOP kepada pihak penguat kuasa misalnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kenaikan kes harian dan kewujudan kluster baharu di negara ini disebabkan oleh kelekaan serta ketidakpatuhan orang ramai kepada arahan kerajaan dalam menangani penularan COVID-19.

BACA: Wanita pakai 'wristband' COVID-19 makan di kafe, cetus kebimbangan netizen

BACA: Tiada lagi kuarantin di rumah mulai 24 Julai, kos kuarantin ditanggung sendiri