Lebih 4,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa dijangka memeriahkan pameran teknologi mudah alih generasi kelima (5G) Malaysia yang sedang berlangsung untuk orang awam di Kompleks Perbadanan Putrajaya mulai hari ini (Sabtu) sehingga Ahad.

Ketua Teknologi dan Standard Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Ahmad Nasruddin Atiqullah Fakrullah berkata pameran 5G itu yang bermula 10 pagi hingga 6 petang, mendapat sambutan memberangsangkan.

"Sebelum pameran dibuka, sudah ada ramai orang menunggu untuk mengunjungi pameran termasuk para pelajar sekolah, universiti dan mendapati sambutan amat menggalakkan. Memang teruja untuk melihat orang ramai mahu melihat dengan sendiri sejauh manakah teknologi 5G ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pameran tersebut.

Justeru, beliau turut menjemput orang ramai untuk melihat sendiri masa hadapan dunia yang dihubungkan dengan teknologi 5G dalam pameran itu yang memaparkan pelbagai teknologi, antaranya dron dengan kecerdasan buatan, pengecaman muka dan stesen dok, hologram, dan robotik (4IR) Revolusi Perindustrian Keempat. Sebanyak 25 pempamer mengambil bahagian.

"MCMC myMaker Fair showcase turut diadakan di dalam khemah sebelah Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya yang mana ia merupakan aktiviti penting kepada generasi muda khususnya untuk memupuk minat dalam teknologi yang sentiasa berkembang pesat.

"Ini adalah bagi memastikan mereka bersiap sedia untuk menerima 5G," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati hujan lebat yang turun kira-kira 2.30 petang tadi tidak menghalang orang ramai untuk terus berada di tapak Pameran 5G tersebut.

Seorang pengunjung, S. Sathia Bama, 50, berkata hujan tidak mematahkan semangat mereka sekeluarga untuk menjayakan pameran ini dan menambah dia bersama kakaknya N.Umah Devi tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.

"Kami juga mahu mengenali apakah itu teknologi canggih 5G," katanya, sambil menambah dia teruja melihat teknologi hologram itu.

-- BERNAMA