Lebih 45 peratus daripada dua juta penduduk di Pahang berdepan masalah kegemukan yang boleh menyebabkan mereka menghadapi gangguan kesihatan, kata Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Beliau berkata antara penyakit yang paling banyak dikesan adalah darah tinggi, iaitu 30 peratus daripada jumlah berkenaan serta kencing manis sebanyak 17 peratus, hampir selari dengan angka di peringkat nasional dan merupakan petanda yang tidak baik.

"Masalah itu boleh dihindari sekiranya masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersukan, kurangkan makanan berlemak dan berminyak, serta mengamalkan diet yang sihat," katanya kepada pemberita pada program Gegar 10,000 Langkah Merdeka anjuran Jabatan Kesihatan Pahang di Taman Gelora, di sini pada Ahad.

Lebih 1,200 orang penduduk dan petugas beberapa jabatan kerajaan dari sekitar daerah ini datang seawal 7.30 pagi untuk menyertai acara berjalan 10,000 langkah, berbasikal dan senamrobik yang diadakan di taman rekreasi itu.

Sha'ari berkata mereka yang sering bersenam akan kelihatan lebih muda daripada usia kerana banyak mengeluarkan hormon 'Endorphin', iaitu hormon yang terhasil daripada dalam badan dan akan keluar bila seseorang melakukan aktiviti senaman.

"Penjagaan berat badan ideal dan pemakanan seimbang ini amat penting yang harus dipandang berat oleh segenap lapisan masyarakat kerana kita mahu menghasilkan rakyat sihat serta cergas," katanya.

-- BERNAMA