Lebih 50 peratus pelajar daripada 2,776 pelajar sekolah rendah dan menengah yang dibuang sekolah di negeri ini tidak membuat rayuan untuk kembali bersekolah, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Mohamad Rafie berkata, jumlah itu adalah dalam tempoh lima tahun dan daripada jumlah berkenaan hanya 1,167 pelajar yang membuat rayuan untuk kembali ke sekolah manakala 1,609 pelajar tidak meneruskan persekolahan.

"Bagi tahun semasa bermula Januari hingga 31 Ogos lepas, seramai 392 pelajar dibuang sekolah dan 127 daripada mereka membuat rayuan dan diluluskan untuk kembali bersekolah.

"Di dalam surat dibuang sekolah, penyataan untuk memohon menyambung semula persekolahan di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memang dinyatakan.

"Pelajar terbabit diberi peringatan untuk hadir bersama ibu bapa atau penjaga bagi melalui proses kaunseling serta tempoh hukuman mengikut Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 sebelum diluluskan untuk bersekolah semula," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

JPNS belum pernah menolak permohonan murid yang ingin menyambung semula persekolahan mereka dan ini secara langsung menunjukkan proses pembelajaran anak-anak tidak terputus begitu saja walaupun mereka dibuang sekolah, katanya ketika menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin tahu bilangan pelajar dibuang sekolah dan langkah kerajaan negeri untuk mengatasi masalah itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata, JPNS melaksanakan program Ziarah Cakna di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah dalam usaha mengatasi masalah ponteng dan buang sekolah pada tahun ini.

"Program ini bukanlah baru dilaksanakan, cuma dijadikan agenda program wajib oleh semua sekolah, PPD dan JPN bagi melaksanakan usaha Kementerian Pendidikan serta pelbagai agensi yang berganding bahu dalam memastikan masalah pelajar dibuang sekolah dapat dikurangkan.

Kempen 'Jom Poi Nolong Sekolah', 'Anak Baik Lagi Cerdik Tanpa Dadah' dan 'Sifar Cicir' menjadi pegangan jitu warga pendidik di negeri ini dalam menjadikan proses pembelajaran anak-anak berkesan secara keseluruhannya," katanya.

Katanya, pelbagai program bersepadu membabitkan unit kaunseling, kokurikulum, akademik, PPD dan agensi luar dijalankan setiap tahun di negeri ini dalam membentuk sahsiah serta jati diri pelajar. - BERNAMA