Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni yang diadakan di Istana Negeri hari ini disambut meriah dengan kehadiran lebih 6,000 tetamu.

Majlis Aidilfitri itu bukan sahaja dihadiri masyarakat pelbagai kaum tetapi turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuib.

Turut serta pada majlis itu, timbalan-timbalan Ketua Menteri bersama para menteri kabinet negeri.

Majlis ini juga mencipta sejarah baharu kerana ini merupakan majlis rumah terbuka di Istana Negeri yang pertama kali diadakan di bawah pentadbiran kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Orang ramai mula datang seawal 8.00 pagi untuk bersama-sama memeriahkan sambutan itu yang turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis tempatan negeri ini.

Pelbagai hidangan menarik disajikan pada majlis rumah terbuka yang bermula dari jam 11 pagi hingga 1 petang itu, antaranya sate, ketupat, lemang dan rendang.