Projek Touch Point Baik Pulih Rumah di bawah peruntukan Unit Penyelaras Perlaksanaa (ICU) Jabatan Perdana Menteri di Kelantan pada tahun ini dilihat dapat memanfaatkan lebih 700 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf.

Projek untuk golongan kurang mampu ini melibatkan peruntukan RM6 juta di enam parlimen terpilih di Kelantan.

Menurut Timbalan Pengarah (Teknikal) Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Ir Zailan Abd Rahman, dengan peruntukan tersebut, ianya dapat digunakan untuk membaik pulih 703 buah rumah.

Ianya melibatkan Jajahan Bachok, Ketereh, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai.

"Setakat ini 70 unit sudah siap dibaik pulih manakala lebih 600 unit dijangka akan siap pada tahun ini.

"Kos bagi baik pulih setiap unit adalah RM10,000 termasuk upah dan kos barang," beliau berkata selepas menghadiri Program Touch Point Baiki Rumah di Pulau Chondong di sini, semalam.

Menurutnya lagi, projek ini telah dimulakan pada tahun lepas dan sebanyak 93 unit rumah berjaya dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM600,000.