Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin eksekutif Hong Kong, Carrie Lam perlu meletakkan jawatan berikutan demonstrasi anti-kerajaan yang berlarutan sehingga sekarang dan ramalan kononnya China akan akhirnya mengambil tindakan tegas terhadap para penunjuk perasaan.

"Hakikatnya beliau dalam dilema, beliau perlu mematuhi tuannya dan pada masa yang sama perlu bertanya suara hatinya sendiri.

"Gerak hatinya berkata bahawa masyarakat Hong Kong betul apabila menolak undang-undang, namun sebaliknya, beliau tahu akibatnya jika menolak undang-undang berkenaan.

"Tetapi sebagai pentadbir, saya berpendapat, perkara terbaik ialah letak jawatan," katanya pada sesi soal dan jawab Persidangan Perlembagaan dan Peraturan Perundangan LAWASIA di sini.

Yang turut hadir ialah Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor.

Bantahan anti-kerajaan berhubung cadangan ekstradisi undang-undang itu telah menggegarkan Hong Kong sejak Jun meskipun rang undang-undang itu telah dibatalkan.

Cadangan pindaan undang-undang itu akan membenarkan ekstradisi berbalik kepada undang-undang di mana Hong Kong mempunyai kelemahan dalam urusan ekstradisi termasuk tanah besar China.

-- BERNAMA