Pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas menjangkakan akan ada lagi pendakwaan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sedikit masa lagi.

Katanya, beliau dimaklumkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang agensi itu sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

"Ya, itu apa yang dimaklumkan oleh pihak SPRM kepada kami. Anda perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada mereka," katanya.

"Pendakwaan hari ini adalah daripada kertas siasatan yang dihantar kepada kami tiga minggu lepas," katanya.

Datuk Seri Najib hari ini didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta di Mahkamah Sesyen hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Najib Razak didakwa hari ini

BACA: Bilangan dakwaan terhadap Najib bergantung pada kertas siasatan

BACA: Sidang Media Peguam Negara bertukar kecoh

Tommy pada masa yang sama menjelaskan beliau tidak pasti sama ada akan ada individu lain yang akan didakwa berkaitan SRC International Sdn Bhd, anak syarikat kepada syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apabila kami menggunakan perkataan 1MDB, kami merujuk kepada apa yang berlaku empat ke lima tahun lalu.

"Terdapat transaksi yang meragukan dalam tempoh tersebut dimana butirannya telah diberikan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan saya berharap SPRM dapat melakukan siasatan terhadap perkara tersebut dan menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada kami," katanya lagi.


Mengulas dakwaan Datuk Seri Najib yang melihat pendakwaan lebih bersifat dendam, Tommy menyatakan bahawa pihaknya tidak mengambil endah terhadap tersebut sebaliknya melihat kes tersebut daripada aspek jenayah.

"Pejabat Peguam Negara adalah badan perundangan terbesar dalam negara dan mempunyai pengalaman lebih 100 tahun. Kami melihat daripada aspek undang-undang jenayah tidak kira siapa personaliti yang didakwa," jelasnya lagi.