Legoland Malaysia sasar India, Asia Barat bagi pacu pertumbuhan

Legoland Malaysia sasar India, Asia Barat bagi pacu pertumbuhan
Tidak lama lagi, Legoland Malaysia akan membuka Sea Life - akuarium serba interaktif yang memaparkan sebanyak 13,000 haiwan marin yang mewakili 120 spesies. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Legoland Malaysia Resort berhasrat menambah bilangan pengunjungnya dan menyasarkan India serta Asia Barat yang dilihat menjadi potensi pertumbuhan pasarannya.

Pengarah Urusannya, Kurt Stocks berkata ini berikutan jumlah kehadiran pelancong kedua-dua negara itu yang amat menggalakkan ke Malaysia.

"Kedatangan pengunjung (dari India dan Asia Barat) ke Malaysia adalah memberangsangkan dan mereka ternyata sudah biasa dengan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Langkawi tetapi kurang ke Johor.
"Sehubungan itu, kami mewujudkan program bagi meneroka pasaran baharu seperti India dan Asia Barat ini memandangkan kedudukannya sebagai pemacu potensi pertumbuhan pasaran," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat di sini, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, taman teman itu menerima ramai pengunjung dari Malaysia, Singapura, China, Indonesia, Australia, Thailand, Taiwan, Filipina serta Korea Selatan.

Selain itu, sejajar usaha bagi meningkatkan tarikan taman tema tersebut, Legoland Malaysia akan membuka Sea Life - akuarium serba interaktif yang memaparkan sebanyak 13,000 haiwan marin yang mewakili 120 spesies, kata Stocks.

Pembukaan Sea Life itu juga dilihat dapat memacu syarikat mencatat pertumbuhan selepas merekodkan prestasi yang mendatar pada tahun lepas.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat berhubung angka itu pada tahun lepas.

Stocks berkata Legoland Malaysia akan turut menawarkan kemudahan mempertingkatkan pas tahunan secara percuma dan dalam tempoh terhad khusus bagi rakyat Malaysia.

Ini akan turut membabitkan kemasukan tahunan secara percuma ke tarikan Sea Life tersebut.

-- BERNAMA

Tag: legoland, malaysia, taman tema, asia barat, india, pelancong, johor bahru


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.