Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun dari 14 hingga 17 Okt dan Korea Selatan dari 18 Okt hingga 21 Okt.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata misi berkenaan disertai pegawai MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, wakil kerajaan negeri Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu, selain 76 wakil syarikat swasta,

"Misi ini merupakan pembabitan tahunan kerajaan untuk terus meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala dengan Jepun dan Korea Selatan.

Leiking akan bertemu rakan sejawatannya di Tokyo dan menghadiri seminar perniagaan di Tokyo, Osaka dan Seoul bagi mempromosi peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia.

Ini termasuk perbincangan perniagaan secara bersemula serta sesi padanan perniagaan bersama peneraju syarikat terpilih, selain perusahaan kecil dan sederhana.

"Mesyuarat dan sesi padanan perniagaan dengan syarikat Jepun dan Korea akan menyediakan peluang untuk Malaysia mempelajari pekembangan teknologi dan industri baharu serta meneroka peluang untuk bekerjasama.

"Ini terutama dalam sektor berpotensi tinggi seperti risikan kecerdasan buatan, automotif, robotik, aeroangkasa, petrokimia, peranti perubatan, tenaga boleh baharu dan industri Halal," katanya.

Pada 2017, Jepun merupakan rakan dagang global keempat terbesar Malaysia dan kedua terbesar dari Asia Tenggara selepas China, manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Jepun.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara sebanyak RM139.2 bilion (US$32.4 bilion) tahun lepas dengan eksport Malaysia ke Jepun berjumlah RM75.6 bilion (US$17.6 bilion) manakala nilai import sebanyak RM63.6 bilion (US$14.8 bilion) .

Sementara itu, Korea Selatan ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-10 terbesar dan sumber import terbesar ketujuh pada 2017.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM67.7 bilion (US$15.8 bilion) tahun lepas, dengan jumlah eksport ke Korea Selatan berjumlah RM28.6 bilion (US$6.7 bilion) manakala nilai import RM39.1 bilion (US$9.1 bilion).

-- BERNAMA