Keseronokan 22 individu termasuk lima remaja bawah umur berpesta liar di sebuah pangsapuri dekat Persiaran Bukit Gambir, Gelugor, Pulau Pinang terbantut apabila mereka ditahan polis pagi Rabu.

Kesemua remaja terdiri daripada 15 lelaki dan tujuh wanita itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik sekitar jam 2 pagi.

Daripada jumlah itu, lima daripadanya adalah remaja bawah umur dan pelajar sekolah berusia 16 hingga 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang dalam kenyataannya berkata, polis menerima laporan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah namun membongkarkan kegiatan sebaliknya.

Pemeriksaan lanjut yang dijalankan menemui beberapa paket lut sinar berisi daun kering disyaki ganja, pil ecstasy dan serbuk ketamin dipercayai digunakan dalam parti itu.

Che Zaimani berkata, kesemua individu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua tangkapan mendapati 19 daripada mereka positif dadah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(3) AKta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta yang sama.