Lelaki 57 tahun ditahan fitnah Tok Nan di Facebook

Lelaki 57 tahun ditahan fitnah Tok Nan di Facebook
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek ditahan pada pukul 12:05 tengah malam tadi di kediamannya.
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun selepas dipercayai memuat naik kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada Rabu, di laman media sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek ditahan pada pukul 12:05 tengah malam tadi di kediamannya.
Selain itu, telefon bimbit suspek turut dirampas bagi tujuan siasatan.

Menurutnya, setakat pagi Khamis, 13 laporan polis telah dibuat di lapan daerah polis terhadap empat pemegang akaun Facebook yang didakwa membuat catatan berbentuk fitnah terhadap Allahyarham.

Adenan, 72, yang menjadi ketua menteri hampir tiga tahun meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Kota Samarahan dekat sini kira-kira 1.20 petang semalam.