Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan khabar angin mengenai insiden beberapa buah kuil dan tokong di Kuala Ketil dan Sungai Karangan, Kulim yang dirosak individu dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ekoran insiden itu, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental kerana mengamuk dan merosakkan patung di kuil dan tokong berkenaan.

Ujarnya, lelaki yang merupakan pesakit mental itu mengamuk dan merosakkan beberapa patung di empat rumah ibadat itu dari kira-kira jam 1 tengah hari hingga 5 petang.

Malah, lelaki berusia 31 tahun itu pernah ditahan polis beberapa tahun lalu kerana melakukan perkara sama.

“Kita telah menjalankan siasatan dan menahan lelaki di Kuala Ketil dan lelaki ni dalam tahanan polis dan kita akan buat siasatan yang ‘detail’ yang mendalam untuk mengetahui mengapa dia melakukan kerosakan pada rumah ibadat ini,” katanya.

Dalam siasatan awal pihak polis, pemuda ini pernah berumah tangga serta sedang dalam proses perceraian.

Malah, pemuda ini juga mempunyai rekod rawatan psikatris.

Beliau berkata pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati kerosakan yang dialami kuil dan tokong berkenaan tidak serius.

Ahmad berkata polis telah menempatkan anggota pasukan gempur ringan (LSF) dan cawangan khas di lokasi sensitif di daerah Kulim, Baling dan Kuala Muda bagi mengawal dan memastikan tidak berlaku insiden tidak baik.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, tengah malam tadi.