Seorang lelaki yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah ditahan polis selepas membuat kacau dan mengganggu orang awam di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, ibu negara.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pihaknya menerima maklumat mengenai lelaki berkenaan pada 2 petang ketika anggotanya sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

“Anggota-anggota berkenaan terus ke lokasi dimaksudkan dan berjaya mengesan individu yang dimaksudkan yang sedang duduk di atas sebuah motosikal.

“Semasa mereka menghampiri lelaki berkenaan, dia mengeluarkan dua bilah pisau dan mengambil sebatang besi yang dikutip di tepi jalan dan mengacukan senjata tersebut kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

#AWANInews #AWANI745 Lelaki berpisau ganggu ketenteraman awam di Cheras dicekup polis, dadah dirampas http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lelaki-berpisau-ganggu-ketenteraman-awam-di-cheras-dicekup-polis-dadah-dirampas-191724

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata lelaki berusia 33 tahun itu berjaya ditahan setelah turut dibantu orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, beg sailing yang dibawa lelaki berkenaan mengandungi satu tiub straw berisi dadah jenis meth seberat 0.1 gram, paket plastik berisi dadah jenis meth seberat 0.2 gram.

“Semakan ke atas motosikal yang digunakan saspek masih dilaporkan hilang di kawasan Cheras dan dia mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.