Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran kecil di sebuah bank di Taman Nusa Bestari di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki itu dipercayai individu bertanggungjawab yang memulakan kebakaran terbabit.

“Kita menerima aduan berlaku satu kebakaran kecil di dalam bahagian tempat mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank tersebut jam 5.42 pagi.

“Hasil pemeriksaan, kejadian dipercayai berpunca akibat plastik sampah di dalam sebuah tong sampah berhampiran ATM tersebut terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kebakaran itu berlaku selepas suspek membuang puntung rokok selepas menggunakan mesin deposit wang.

“Tindakan lelaki itu mengakibatkan puntung rokok itu membakar resit yang berada di dalam tong sampah berkenaan.

“Kejadian itu dirakam (CCTV) di bank berkenaan dalam tempoh 25 minit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.