Seorang lelaki tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan ketika menjalankan kerja penyelenggaraan sebuah lori milik Majlis Daerah Keningau, pagi tadi.

Menurut Pegawai Bomba Kanan Raizaain Ag Damit, mangsa Albert Musli, 53, mengalami kecederaan kerana tersepit pada lori itu ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di bengkel Majlis Daerah Keningau.

Katanya, pihak bomba telah menerima makluman berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi dan tiba di lokasi kejadian sejauh dua kilometer itu pada jam 9.06 pagi.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian pihak bomba terus menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.

"Mangsa telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Operasi yang melibatkan seramai sembilan orang anggota itu ditamatkan pada jam 9.48 pagi.

Pasukan bomba berusaha menyelamatkan mangsa yang tersepit pada badan lori.

Pasukan bomba berjaya menyelamatkan mangsa yang tersepit pada badan lori.