Seorang pendatang asing yang sebelum ini dilaporkan seringkali berkeliaran di Taman Sri Perdana, di sini sambil memegang parang serta terbabit kes pecah rumah akhirnya ditembak polis, semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, suspek yang tiada dokumen pengenalan diri dan berusia 36 tahun berkenaan bernasib baik hanya ditembak di kaki.

Dia dikatakan cuba membunuh anggota polis dengan melibas parang ketika serbuan dijalankan di Kampung Betik.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum itu pihaknya menerima makluman berhubung kehadiran suspek di taman perumahan itu dengan membawa parang.

"Sepasukan polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah kampung atas bukit berkenaan dan melihat suspek dalam keadaan duduk sambil memegang parang.

"Pasukan polis telah menjerit memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan suspek untuk membuang parang serta menyerah diri.

"Suspek yang melihat kehadiran pasukan polis terus berdiri sambil memegang parang lalu melibas-libas di hadapan pintu utama ke arah pasukan polis. Jarak pasukan polis dengan suspek adalah lebih kurang dua meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasri berkata, polis sekali lagi memberi amaran kepada suspek agar membuang parang yang dipegang namun suspek enggan berbuat demikian.

"Suspek kemudian bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang dengan cara melibaskan parang.

"Bagi mempertahankan diri dari bahaya nyawa dan kecederaan parah, polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah suspek dan kena pada kaki suspek.

"Tetapi, suspek masih bertindak agresif dengan merempuh polis dan melarikan diri ke kebun sawit sejauh kira-kira 800 meter sebelum berjaya ditangkap selepas berlakunya pergelutan,"kata Nasri.

Menurutnya, suspek kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu terlibat dalam lima kejadian khianat iaitu memecahkan cermin rumah dan kereta di Taman Sri Perdana.

"Lelaki berkenaan juga sering berkeliaran di taman tersebut dengan membawa parang serta membahayakan penduduk.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya.