Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lagi kenderaan di Kilometer 24, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Gua Tempurung hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Asaya Abdul Rahim, 50, dan anak saudaranya, Muhammad Amirul Mukminin Mohamad Suhaimi, 16, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh, manakala lori tanpa muatan dan Toyota Hilux dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan Hilux itu telah berhenti di tempat kejadian untuk membelok ke kanan manakala lori tanpa muatan itu yang datang dari belakang telah melanggar kenderaan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, akibat hentaman itu, kenderaan Hilux berkenaan terdorong ke hadapan ke arah bertentangan dan melanggar motosikal yang ditunggang kedua-dua mangsa.

“Akibat kemalangan itu kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa membawa Hilux dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan,” ujarnya.