Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyokong aktiviti kepengganasan yang mempunyai kaitan dengan ketua militan Daish Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang terbunuh di Syria April lalu.

Azuddin Mahmud, 54, didakwa melakukan kesalahan itu dengan membenarkan kemasukan wang RM3,500 dalam akaun miliknya yang dipercayai keseluruhan atau sebahagian daripadanya memanfaatkan pengganas itu.

Tertuduh yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Januari, 2016 kira-kira jam 7.26 pagi di No 307 Jalan Jati 1, Taman Jati di Kulim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Manomani.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ellyna Othman, mengikut Seksyen 130O(1)b Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O(1)(bb) kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Majistret kemudian membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.