Seorang lelaki dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah kanabis seberat 3.139 kilogram dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas mendapati keterangan pembelaan tertuduh iaitu Radin Irwan Iskandar Isagani, 33, tidak munasabah dan tidak membangkitkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Mahkamah juga berpuashati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan.

"Saya berpandangan bahawa keterangan tertuduh seolah-olah menangguk di air keruh, tertuduh cuba mengalihkan penglibatannya kepada pihak-pihak yang tidak tentu kewujudannya.

"Gambaran keseluruhannya yang dilihat di akhir kes adalah tertuduh sememangnya membawa beg biru tersebut yang mengandungi dadah berbahaya ke rumah SP1 (bekas isterinya) dan meletakkannya di bilik ketiga," katanya.

Tertuduh yang pernah bertugas sebagai penolong eksekutif di sebuah pasaraya di Seremban dan merupakan duda anak satu itu didakwa mengedar dadah itu di Apartment Mutiara Permata, Brickfields di sini pada 11 malam, 13 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 24 Julai 2015, Radin Irwan yang diwakili peguam Rahmat Hazlan didakwa di Mahkamah Majistret di sini dan pada 9 Jan lepas Mahkamah Tinggi telah memerintahkannya untuk membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli.

Semasa perbicaraan pendakwaan memanggil tujuh orang saksi manakala tertuduh merupakan saksi tunggal pembelaan.

-- BERNAMA