Seorang lelaki dipercayai warga Thailand ditemui mati tergantung di Kompleks Perikanan LKIM, Kuala Besut pada Jumaat.

Mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu dijumpai kira-kira jam 7 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Mat ditemui dengan kesan jerut pada leher.

Mangsa tergantung pada tali nilon yang diikat di tiang tengah bangunan terbuka tempat penyimpanan pukat kompleks berkenaan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengenalan diri ditemui.

Ketua polis daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.