Lelaki dikhuatiri lemas, jatuh laut ketika memancing

Lelaki dikhuatiri lemas, jatuh laut ketika memancing
Rakan mangsa memaklumkan lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu terjatuh ke laut ketika memancing di belakang sebuah hotel di Pantai Tengah, Langkawi - Gambar Hiasan
ALOR SETAR: Seorang lelaki berumur lingkungan 30-an dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh laut ketika memancing ikan di belakang sebuah hotel di Pantai Tengah, Langkawi petang Sabtu.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 7.54 malam tadi dan tiba di lokasi berkenaan lapan minit kemudian.
"Setibanya pihak kami di tempat kejadian maklumat diterima daripada rakan mangsa memaklumkan lelaki tersebut telah terjatuh ke dalam laut semasa memancing ikan di kawasan tersebut lebih kurang 5 petang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya yang terdiri daripada lima anggota termasuk pegawai berhadapan sedikit kesukaran berikutan keadaan laut bergelora terlalu kuat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa malam tadi dengan dimulakan di pesisir pantai kawasan itu.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan lagi pagi ini bermula 7 pagi Ahad.

-- BERNAMA