Seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya maut dipercayai digilis keretapi KLIA Transit yang dikendalikan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menghala ke Stesen Kuala Lumpur Sentral, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada pihak ERL berhubung kejadian itu setelah dimaklumkan mengenainya oleh pihak syarikat.

"Hasil keterangan pemandu ERL terbabit mendapati dia mengaku ada melanggar 'objek' yang tidak diketahui di atas landasan.

Susulan itu, hari ini polis telah pergi ke tempat kejadian dan menemui sekujur tubuh yang tidak sempurna di landasan ERL," katanya ketika dihubungi Bernama.

Chong berkata polis menemui mayat tidak berkepala dengan kesan cedera parah di bahagian anggota badan akibat digilis.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian menemui kepala mangsa di dalam longkang berhampiran landasan," katanya.

Selain itu, polis percaya mangsa merupakan salah seorang penumpang ERL berdasarkan sekeping tiket yang ditemui di tangan mangsa.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat.

"Bagaimanapun, polis akan meneruskan siasatan kes ini untuk mengenal pasti identiti mangsa," katanya.