Lelaki yang didakwa mencabul seorang wanita di sebuah kompleks beli belah di Alor Setar, pada Ahad lalu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Perkara tersebut disahkan ibunya, Rusni Saad, 58 tahun. Namun, punca kematian masih belum dikenal pasti.

Mohd Fisol Abu Bakar, 31 tahun yang berasal dari Yan, Kedah itu meninggal dunia selepas koma ketika dirawat di Zon Merah, Unit Kecemasan dan Trauma HSB.

Pada jam 4.30 petang tadi, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk dibedah siasat..

Difahamkan, pengkebumian jenazah akan dilakukan malam nanti di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Yan.

BACA: Pukul lelaki hingga koma, polis tahan lima individu

Pada Ahad, kira-kira jam 4 petang, Mohd Fisol mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dibelasah sekumpulan lelaki selepas dia didakwa mencabul seorang wanita berusia 21 tahun yang berkerja di sebuah kedai telekomunikasi di kompleks beli belah, di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin memaklumkan, setakat tengah hari tadi lima tangkapan telah dilakukan pihaknya.

Kesemua tangkapan yang turut melibatkan seorang wanita berusia lingkungan 20-an.

Kesemua suspek direman bermula hari ini sehingga 2 Jun bagi membantu siasatan, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh.