Sepasang suami isteri terkejut apabila diserang tetamu yang datang ke kediaman mereka sebelum bertindak menghabiskan nyawanya sendiri.

Menurut Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi di Taman Kiara Mas 2, di sini, pada Jumaat, suspek yang dijemput pasangan itu hadir untuk mengubati penyakit misteri yang dihidapi mereka.

Menurutnya, pasangan berkenaan mengenali lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah institusi kewangan di daerah ini, dan menganggap lelaki tersebut sebagai adik angkat mereka, lapor Sinar Harian.

"Ketika mereka bertiga masuk ke dalam bilik untuk berubat, secara tiba-tiba suspek seperti dirasuk dan mencederakan suami mangsa menggunakan parang.

"Isteri mangsa berusia 41 tahun, yang cuba meleraikan kejadian tersebut turut dicederakan suspek," katanya.

Mohd Abduh berkata, ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, suspek dikatakan masih berada di dalam bilik tersebut.

Menurutnya, polis cuba memanggil suspek, namun tiada sebarang maklum balas sebelum polis bertindak memecahkan pintu bilik dan lelaki terbabit ditemui terlentang serta didapati telah meninggal dunia dipercayai membunuh diri berdasarkan kesan tikaman di dada serta perut.

"Turut dijumpai di lokasi kejadian sebilah keris panjang di belakang badan suspek.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 serta Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta tampil bantu siasatan.