Polis menahan seorang lelaki dan merampas 99 bungkus air ketum di tepi Jalan Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kulim, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Safuan Md Noor berkata dalam kejadian pukul 5 petang itu, anggota polis dari Balai Polis Padang Serai yang sedang membuat rondaan telah terserempak dengan suspek berumur 32 tahun yang sedang melepak di tepi jalan berkenaan.

"Pemeriksaan fizikal telah dilakukan terhadap suspek namun tidak menjumpai sebarang barang yang salah. Pemeriksaan lanjut telah menemukan dua tong polistirena berwarna putih yang mengandungi 99 bungkusan air ketum di bahagian belakang tempat suspek melepak.

"Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik telah ditahan dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA