Gara-gara cuba melakukan pemerasan terhadap bapa Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, kanak-kanak berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang sejak 15 April lepas, seorang lelaki ditahan polis di Permas Jaya, Johor Bahru, pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata suspek berumur 42 tahun itu mengirim satu pesanan menerusi WhatsApp kepada bapa kanak-kanak berkenaan iaitu Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, pada 13 Mei.

Beliau berkata suspek cuba meminta wang daripada Mohd Fauzi dengan memberitahu bahawa Muhammad Zahiruddin ada bersamanya.

“Perkara berkenaan kemudian dimaklumkan oleh Mohd Fauzi kepada polis untuk diambil tindakan mengesan suspek.

“Kami berjaya menahan suspek di Johor Bahru dan ketika disoal siasat, suspek mengaku mangsa (Muhammad Zahiruddin) tidak bersamanya dan turut mengaku cuba mengambil kesempatan daripada kes kehilangan kanak-kanak itu akibat terdesak tiada duit,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sehingga proses siasatan kes berkenaan selesai.

Pada 16 April lepas, Muhammad Zahiruddin Putra dilapor keluar dari rumahnya pada kira-kira pukul 8 pagi, untuk bermain, dan sejak itu tidak pulang ke rumah.

Mohd Fauzi juga membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada hari sama.

-- BERNAMA